Limau bali limau tambun
Limau dari Padang Temu
Kasih sejati rindu menimbun
Cintakan sayang takkan jemu
Memuatkan sebarang artikel atau gambar yang menarik untuk tatapan semua. Semoga membawa kebaikan dan menitip rasa kecintaan kepada Allah. Aku tidak mampu menyumbang harta ataupun tenaga, yang hanya sedikit minda untuk berwacana.
Teguh berdirimu seteguh gunung tak gentar dilanda gempa
Kukuh asasmu sekukuh pohon yang tak goncang ditiup angin
Megah namamu semegah nama diukir diawan tinggi
Harum baumu seharum kenanga diwaktu senja
Sekolahku,
Bertuahnya aku bersamamu
Guru-guru sentiasa mengajarku dengan ilmu
Kawan-kawan membimbingku dengan nasihat
Ibubapa mendoakanku dengan kejayaan terpahat
Sekolahku,
Bertahun-tahun aku bersamamu terasa baru semalam mengenalimu
Pendeknya waktu tak mengenal usia yang berjalan terus-terusan
Ilmu, nasihat dan doa terus kuterima bekal hari akhirat
Tanda kuasa Tuhan yang sentiasa memberi hidayah berkat
Ya, Allah
Sekolahku, ilmuMu, hidayahMu, taufikmu dan berkatMu
Adalah nadi yang bergerak pantas sepantas waktu yang berlalu
Adalah diriku yang akan berada dijalanMu
Bimbinglah aku dijalan ini walau sesukar mendaki gunung batu
Tabahkan hatiku setabah Nabimu berdakwah tak mengenal waktu
Pergi ke gunung membawa pahat
Hendak memahat mengukir nama
Hidup hendaklah mendengar nasihat
Barulah menjadi orang berguna
Pergi ke hutan mencari kayu
Bawa bekalan kapak dan pahat
Hidup ini kalau berilmu
Pergi kemanapun tak akan sesat
Tenang-tenang air di kuala
Sampan berdayung menuju
Nasihat ibubapa umpama pelita
Untuk bekalan di hari tua
Kayu basah nasipun mentah
Hendak menanak diwaktu redup
Nasihat ibubapa jangan di bantah
Nanti tak selamat sepanjang hidup
Membeli ikan di pasar besar
Ikan pari, keli, kerapu dan jelawat
Pengorbanan ibubapa amatlah besar
Hingga tak terkira ke akhir hayat
Pergi ke kedai membeli gaharu
Beli bersama sebungkus ragi
Jangan engkar kata-kata guru
Hidup tak berimu diri yang rugi
cinta hanya pemberian
dari Allah kepada makhlukNya
tanda cinta sejati pencipta
terhadap ciptaanNya
cinta tak mengenal usia
kerana cinta adalah anugerah
cinta tak mengenal batas
kerana cinta bergerak bebas
di pohon sepi ini kita bernaung
bermunajat kepada Allah yang agung
moga sepi diganti rindu dan cinta
moga usia dipagari perasaan kasih abadi
yang bernama cinta adalah sanubari
menjalar dari jiwa ke darah yang merah
tak terhenti walau sedetik
bergerak pantas membaluti rasa resah
lalu menjadi cinta abadi
cintakan bunga, bunga akan layu
cintakan manusia, manusia akan mati
cintakan pohon, pohon akan mereput,
cintakan Allah, kekal selama-lamanya
yang bernama sayang itu perasaan yang entah dari mana ia datang
membawa sejuta erti yang entah dari mana terbitnya
yang menyelinap dari diri ke hati
dan menetap di situ
yang bernama kasih itu suatu ikatan yang tulus entah dari mana asalnya
membawa sejuta maknawi yang entah dari mana jadinya
yang meresap dari hati ke sanubari
dan memancar bagaikan mentari
yang bernama cinta itu suatu yang suci entah dari mana mulanya
membawa kuasa yang entah dari mana puncanya
yang bersebati dari ubun-ubun ke kaki
dan mengalir bagaikan darah ke seluruh jasad
adapun sayang, kasih dan cinta
walau apapun maknanya
atau dari mana asalnya
atau dari mana puncanya
atau dari mana terbitnya
adalah suci, murni dan tulus dari hati ke hati
yang bersebati dalam diri dan nurani
dan sekiranya mereka datang dari arah mana pun
datangnya mereka dari Ilahi
hasil nukilan
Azieham
17 Mei 2008
hari-hari yang dimamah usia
tak tinggal selintas pun masa
bagi mancari erti cinta
demi mengenal maksud rasa
ketika malam mengejar fajar
seorang pencari mencari sinar
ketika dini hari suara terpancar
“kenapa mencari di sini
carilah dilubuk hati”
ku selongkar hati
tak ku temui cinta dan rasa
tak ku temui makna
tetapi ada bisikan menerpa
“aku ada disini dan masih tetap disini
pejamkan mata dan lihatlah
sumbatkan telinga dan dengarlah
nescaya kau akan ketahui
bahawa cinta dan rasa itu hakikat
bahawa makna itu sifat
yang lahir bukan dari dirimu
yang mengalir bukan dari jasadmu
kau juga akan ketahui
bahawa apa yang kau rasa atau punya
adalah milik Yang Maha Kuasa
Rabbul Izzati”
hasil pena
Azieham
17 mei 2008
di ruang maya kita bertemu
berbicara tentang hidup yang kita tak tahu
bermula dengan cerita tentang manusia
tentang internet, sosial, ekonomi, pengajian dan alam
di ruang maya itu juga
sayang menjelma entah dari mana
kasih terbina entah dari apa
cinta bersemi entah dari bila
di ruang maya itu juga
kita pelajari tentang Kuasa Yang Esa
yang menemukan dua manusia
daripada tanpa ikatan apa-apa menjadi insan yang bersama
daripada tanpa sayang, kasih atau cinta menjadi insan yang berjiwa
yang merindu dan sentiasa mahu bersua
di ruang maya itu jugalah kita pasrah
kepada Allah kita berserah
semoga langit
hasil nukilan
Azieham
18 Mei 2008
puas kucari kemanakah perginya rindu semalam
yang kunanti seharian
tapi hanya bayu yang membawa pesan
rindu semalam masih menitip cinta
pada jiwa yang berbaur rasa
ku selongkar segalanya
untuk mencari rindu semalam
di balik kasih sayang dan cinta yang kita ungkapkan
tak ku temui rindu semalam
hanya rindu yang berterusan yang mengalir tak putus-putus
kerana rindu semalam belum berakhir
Nukilan
Azieham
19 Mei 2008